📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

Sarawak United FC jalani ujian saringan COVID-19, sedia hadapi baki perlawanan Liga Perdana Malaysia

foto Utusan Borneo

KUCHING: Skuad Sarawak United FC sedia menghadapi baki tujuh perlawanan Liga Perdana Malaysia selepas tertangguh sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak COVID-19 di negara ini. 

Menurut Pengurus Pasukan Sarawak United FC Afiq Fikri Brahim, untuk itu, seramai 41 pemain dan pegawai menjalani ujian saringan COVID-19 di Hospital Pakar KPJ Kuching bagi memenuhi syarat prosedur pengendalian standard (SOP) yang ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) merancang untuk meneruskan kempen Liga Malaysia 2020 mulai 1 September depan.

"Hari ini kita bersama 41 pemain dan pegawai menjalani ujian saringan COVID-19 bagi memenuhi syarat SOP sebelum kembali menjalani latihan di lapangan dalam menghadapi siangan liga yang dijangka bermula awal September nanti," katanya ketika ditemui selepas ujian itu di sini hari ini. 

Jelasnya, jika boleh sesi latihan akan bermula secepat mungkin selepas kebenaran daripada MFL bagi meningkatkan keserasian dan kecergasan pemain selepas lebih tiga bulan tidak menjalani latihan bersama. 

"Keputusan ujian saringan ini boleh diketahui tengah malam ini sebelum dihantar kepada pihak MFL sebagai memenuhi syarat SOP untuk memulakan sesi latihan. 

"Tumpuan kita pada latihan nanti adalah untuk meningkatkan kecergasan dan keserasian antara pemain kerana sejak PKP lalu mereka hanya menjalani latihan secara sendirian di rumah masing-masing," tambahnya. 

Dalam pada itu, Afiq berkata, Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) menyambut baik langkah MFL menyambung semula liga pada September nanti. 

"Kita yakin mampu untuk terus memberi cabaran dengan tujuh baki saingan Liga Perdana yang tinggal," tegasnya. 

Katanya lagi, Sarawak United FC mesti memenangi ke semua tujuh baki perlawanan untuk ke saingan Piala Malaysia dan naik ke Liga Super musim hadapan.

Beliau memberitahu, pada masa ini Sarawak United FC menduduki tangga kesembilan dalam saingan Liga Perdana.

"Sarawak United FC selepas ini akan menentang Kelantan, Negeri Sembilan, Perak, Kuching di gelanggang lawan manakala aksi di tempat sendiri menentang Kelantan United, UKM,Terengganu ll," ujarnya.