KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai pencalonannya sebagai calon perdana menteri oleh beberapa pemimpin Pembangkang.
Usaha mendapatkan respons daripada Shafie, yang juga ketua menteri Sabah, tidak berjaya setakat ini.
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata bahawa beliau menyokong penuh cadangan Parti Amanah Negara (Amanah), Warisan dan DAP untuk mencalonkan Mohd Shafie, yang juga Ahli Parlimen Semporna, sebagai calon perdana menteri pembangkang.
Dr Mahathir, yang juga Ahli Parlimen Langkawi, berkata keputusan untuk mencalonkan Mohd Shafie sebagai calon perdana menteri dicapai dalam mesyuarat tidak rasmi dengan sekutunya (Amanah, Warisan dan DAP) di Rumah Tetamu Sabah di sini pada hari Khamis (25 Jun).
Sementara itu, Ketua Penerangan Warisan, Datuk Dr Yusof Yacob dalam satu kenyataan berkata bahawa cadangan mencalonkan Shafie sebagai calon perdana menteri harus disambut baik oleh rakyat Sabah dan Sarawak.
Sudah tiba masanya pemimpin dari Sabah atau Sarawak diberi peluang kerana kedua-dua negeri telah banyak membantu membangunkan negara melalui minyak dan gas, katanya.