📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

Taman tema dibenarkan beroperasi


PUTRAJAYA: Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini mengumumkan lebih banyak kelonggaran termasuk membenarkan taman tema beroperasi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bermula 1 Julai ini, 54 buah taman tema termasuk taman tema air akan mula beroperasi, melibatkan lebih 10,000 tenaga kerja di seluruh negara.

Bagaimanapun, pengusaha semua taman tema dan pusat beli belah perlu mematuhi prosedur pengendalian standard (SOP) yang ditetapkan, termasuk memastikan jarakan sosial dipatuhi pada setiap masa.

“Bagi taman tema, had pengunjung adalah berdasarkan kapasiti ruang serta saiz kawasan taman tema. Pengunjung juga perlu menjalani proses pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera, serta pemeriksaan suhu badan dan penyediaan pensanitasi tangan,” katanya dalam sidang media harian hari ini.

Jelasnya, bagi pengusaha taman tema air khususnya, mereka perlu mengikut Garis Panduan Pengurusan dan Penyenggaraan Kolam Renang Awam oleh Pihak Berkuasa Tempatan, serta Garis Panduan Pemantauan Kualiti Kolam Air.

Beliau berkata, garis panduan serta SOP boleh diperolehi dari laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk maklumat lanjut.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai majlis jamuan perkahwinan Ismail Sabri berkata, mesyuarat khas juga bersetuju, membenarkan jumlah tetamu tidak melebihi 250 orang pada satu-satu masa bagi majlis perkahwinan dan akad nikah di masijd, dewan, rumah dan sebagainya.

“Had tetamu ini tertakluk kepada saiz keluasan dan kapasiti ruang serta pematuhan SOP berkaitan yang berkuatkuasa. Kebenaran jumlah tetamu ini juga diberi kepada Majlis Jamuan Perkahwinan di Rumah Ibadat dan Persatuan Agama Bukan Islam,” katanya.

Sebelum ini dilapor, kerajaan membenarkan penganjuran majlis sosial termasuk majlis perkahwinan, majlis pertunangan, majlis berkaitan keagamaan seperti tahlil, akikah, doa selamat serta majlis sambutan ulang tahun perkahwinan dan hari lahir mulai 1 Julai.