Dari kiri: Robert Lau Hui Yew, Rita Sarinah Patrick Insol, Susan Chemerai Anding

SIBU: Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (SRDC) Robert Lau Hui Yew adalah antara tiga anak Sarawak yang dijangka akan mengangkat sumpah sebagai Senator di Dewan Negara minggu depan.

Dua yang lain adalah Rita Sarinah Patrick Insol, yang merupakan anggota Parti Rakyat Sarawak (PRS), dan Susan Chemerai Anding dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), menurut sumber yang dipercayai.

Gabungan kerajaan negeri, Gabungan Parti Sarawak (GPS), kini mempunyai dua Senator, yang kedua-duanya berasal dari PBB.

Lau, 55, adalah pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Bawang Assan dan peguam secara profesional.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sacred Heart itu telah berkhidmat di Majlis Perbandaran Sibu (SMC) sejak tahun 2004 hingga 2013 sebagai ketua jawatankuasa tetap Kerja Raya dan Trafik.

Lau enggan mengulas mengenai pelantikan tersebut ketika dihubungi hari ini.

Sebelum pilihan raya umum tahun 2018, beliau juga dicalonkan sebagai Senator untuk mewakili Sibu tetapi itu tidak menjadi kenyataan.

Lau dicalonkan sebagai calon Barisan Nasional pada pilihan raya kecil Sibu 2010 berikutan kematian penyandangnya Datuk Robert Lau Hoi Chew, yang merupakan sepupunya, tetapi tewas kepada Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) ketika itu, iaitu mendiang Wong Ho Leng.

Rita Sarinah Patrick Insol, 58, sementara itu, berasal dari Rumah William Bansa di Dijih, Selangau.

Beliau ialah naib presiden Persatuan Penanam Kelapa Sawit Dayak Sarawak (DOPPA).

Beliau mendapat pendidikan menengah atas di Kolej Tuanku Haji Bujang Miri sebelum mengambil pengajian undang-undang di Universiti Malaya dan kemudian memperoleh MBA dari Herriot Watt University.

Beliau bekerja sebagai Majistret selama lima tahun sebelum menyertai Bintulu Port Sdn Bhd dan berada di sana selama 20 tahun.

Kedudukan terakhirnya sebelum mengambil persaraan awal adalah sebagai ketua penasihat undang-undang.

Rita adalah tokoh masyarakat terkenal di Bintulu, menjadi ketua Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Bintulu selama 17 tahun.

Beliau bertanding atas tiket PRS di Selangau, namun kalah kepada Baru Bian.

Sementara itu, Susan Chemerai Anding yang berusia 57 tahun ialah seorang peguam berbangsa Iban dari Sri Aman.

Beliau mempunyai ijazah undang-undang dari University of Buckingham, UK dan juga ijazah dalam Perancangan Bandar dan Desa dari University of Manchester, UK.

Beliau dilantik sebagai setiausaha politik kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Mei 2017.

Kini, beliau ialah Setiausaha Kehormat Sayap Wanita PBB dan ahli Lembaga Pemegang Amanah Wanita Iban.

Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: