📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

Abd Latiff: Terpulang kepada PM kalau nak pecat saya


PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad hari ini menolak seruan pemimpin UMNO supaya beliau mengundurkan diri atas kenyataan beliau yang mengkritik parti itu di Sabah, sambil menjelaskan bahawa sebarang keputusan mengenai perkara itu terpulang kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Terpulang kepada perdana menteri," katanya kepada wartawan setelah perhimpunan bulanan dengan pegawai di kementeriannya di sini.

"Beliau yang melantik saya."

Latiff, yang merupakan Ahli Parlimen Mersing, membuat kenyataan itu di sebuah forum, dalam video yang menjadi tular.

“Orang Sabah, dia tak panggil lompat, dia kata hijrah. Biasa. Daripada Berjaya. USNO pergi PBS, PBS pergi Berjaya, PBS pergi UMNO,” kata Latiff.

"Sekarang ni UMNO dah tak laku. UMNO, parti di Sabahlah. Itu realiti kerana [rakyat] dah tak yakin. Semua orang, dia dah lompat, dia hijrah, ke Bersatu atau dia berhijrah ke WARISAN."

Pemimpin Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah antara mereka yang meminta Latiff meletak jawatan berhubung perkara itu.

Namun, Latiff berkata beliau sudah meminta maaf atas kenyataannya, sambil menambah bahawa tidak perlu baginya untuk bertemu dengan Asyraf mengenai masalah tersebut kerana beliau tidak ada kuasa terhadapnya.

"Kenapa saya mesti berjumpa dengan exco Pemuda Umno?

“Pegawai saya adalah exco Pemuda. Pegawai itu disyorkan oleh Asyraf Wajdi untuk berada di kementerian saya.

"Kenapa saya harus berjumpa dengannya? Beliau bukan presiden saya. Adakah saya perlu berjumpa Pemuda Umno? Apa kaitan kementerian ini dengan Pemuda Umno?", katanya.