KUALA LUMPUR: Hos TV BERNAMA, Herleena Pahlavy yang dikenakan tindakan setelah memanggil stesen TV Al-Jazeera sebagai 'Al-Jahiliyah' hari ini mengingatkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengenai janji beliau untuk terus mempertahankan kebebasan bersuara.
Herleena Pahlavy berkata demikian dalam satu catatan di facebooknya sambil berkongsikan satu pautan berita Malaysiakini pada Mac 2020 yang bertajuk “Saifuddin janji terus pertahan kebebasan bersuara”.
Dalam rancangan 'Malaysia Petang Ini' yang disiarkan TV Bernama pada Isnin yang bertujuan membincangkan kontroversi laporan Al-Jazeera yang mengkritik Malaysia dalam menangani pendatang asing tanpa izin, Herleena menggelar Al-Jazeera sebagai Al-Jahiliyah.
“Saya rasakan Al-Jazeera, atau selepas isu ini, saya boleh katakan bahawa Al-Jahiliyah ini tidak mempunyai asas ataupun mungkin etikanya kurang. Kalau kita google pun, mereka memang banyak kontroversi dan kritikan yang melanda dirinya,”
Beliau kemudiannya mengakhiri rancangan itu dengan kata: “Saya Leena Pahlavy, Al-Jazeera, ‘you shut up’.”
Berikutan itu, Saifuddin berkata gelaran sedemikan terhadap Al-Jazeera oleh hos terbabit tidak sepatutnya diberikan.
“Kita memang tak setuju dengan laporan saluran berita itu, tapi kita tak boleh menggelarnya dengan panggilan itu. Saya dimaklumkan oleh pengerusi Bernama [Suhaimi Sulaiman] yang tindakan telah diambil," katanya.
Jumaat lalu, Al-Jazeera menyiarkan dokumentari bertajuk “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” selama 25 minit menerusi program 101 East, yang mendakwa kerajaan menggunakan alasan kesihatan dan keselamatan awam untuk menahan pendatang asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Polis kemudiannya menyiasat saluran berita itu di bawah Akta Hasutan 1948, Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menyiarkan berita fitnah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan secara tidak wajar.
Jabatan Imigresen pula sedang mengesan seorang warganegara Bangladesh, Rayhan Kabir yang ditemu bual dalam program itu.