📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

BN, PAS, GPS, parti Sabah suarakan sokongan pada PM demi kestabilan politik


PUTRAJAYA: Pemimpin Barisan Nasional (BN), PAS bersama parti dari Sarawak dan Sabah menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin demi kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Sokongan itu disuarakan dalam mesyuarat 2 jam di Putrajaya petang tadi yang dihadiri Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Presiden MIC, Tan Sri S Vigneswaran.

Turut hadir Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Openg dan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Prof Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri James Jemut Masing, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Panglima Maximus Ongkili, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Muhyiddin menerusi catatan di Facebooknya berkata, mesyuarat itu turut dihadiri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai ketua whip kerajaan PN dan Setiausaha Agung PPBM, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

PBB, SUPP, PRS dan PDP membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memimpin kerajaan negeri Sarawak.

Pertemuan itu diadakan ketika Pakatan Harapan (PH) tidak sependapat berhubung calon perdana menteri mereka, jika ia berjaya merampas kembali Putrajaya.