📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

BN pertahan kerusi DUN Chini


PEKAN: Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi DUN Chini menerusi kemenangan calonnya, Mohd Sharim Md Zain, 41, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu dengan majoriti 12,650 undi.

Menerusi keputusan rasmi yang diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK, Datuk Zaliza Zulkipli di Institut Kemahiran Belia Negara di sini jam 9.07 malam, Sharim diisytihar pemenang dengan memperoleh 13,872 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan peratusan keluar mengundi pada 73.87 peratus dengan 239 undi ditolak.

Mohamad menewaskan dua calon bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham, 64, yang mendapat 1,222 undi dan Mohd Shukri Mohd Ramli (137).

PRK kali ini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun akibat serangan jantung pada bulan Mei lalu.

Majoriti diperoleh BN kali ini adalah jauh lebih besar berbanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ketika itu, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun, memenangi kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,662 undi dalam persaingan tiga penjuru.

Allahyarham meraih 10,027 undi manakala calon PAS, Ustaz Mohd Fadhil Noor mendapat 5,405 undi dan calon PKR, Mohd Razali Ithnain sekadar meraih 1,065 undi.