📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

"Calon speaker Dewan Rakyat baharu dikenal pasti, bukan ahli parlimen" – Fadillah

Datuk Seri Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR
: Calon yang akan dilantik sebagai speaker Dewan Rakyat yang baharu telah dikenal pasti, kata Menteri Kanan (Infrastruktur) – Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah berkata, calon yang namanya tidak disebut itu bukan seorang ahli parlimen. Ketika ditanya adakah calon berasal dari Sarawak, beliau hanya tersenyum.

"Saya tidak menamakan sesiapa pun, tetapi yang pasti ialah calonnya layak," kata Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu kepada wartawan setelah menyampaikan sijil kepada 39 kontraktor di sini hari ini.

Pada hari Ahad, speaker Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengesahkan bahawa beliau telah menerima usul untuk menamatkan perkhidmatannya, dan perkhidmatan Nga Kor Ming sebagai timbalan speaker.

Fadillah berkata GPS akan menyokong apa sahaja keputusan yang dibuat oleh kerajaan persekutuan dan yakin bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai alasan yang baik untuk menghantar usul menyingkirkan Ariff dan Nga.

"Oleh itu, kami akan sokong usul itu. Calon juga telah dikenal pasti dan kita akan lihat apa yang berlaku di Parlimen pada 13 Julai nanti,” katanya.

Mengenai pilihan raya negeri Sarawak, Fadillah berkata, GPS sudah bersedia untuknya walaupun Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Openg belum memutuskan tarikhnya.

"Bagi kami di Sarawak, kami tidak bekerja untuk pilihan raya, kami bekerja untuk rakyat dan kami bersedia menghadapi pilihan raya negeri pada bila-bila masa," katanya.