BRASILIA: Presiden Brazil, Jair Bolsonaro memberitahu para penyokong yang berkumpul di luar istana presiden, dekat sini, pada Isnin, bahawa beliau telah menjalani ujian saringan Covid-19 dan paru-parunya telah diperiksa.
"Saya telah kembali dari hospital sekarang, saya telah melakukan pemeriksaan paru-paru, paru-paru saya bersih, OK? Saya pergi buat ujian saringan Covid tadi, tetapi semuanya baik-baik saja," katanya.
Bolsonaro, yang memakai topeng, mengingatkan orang ramai untuk tidak mendekatinya.
"Anda tak boleh mendekati saya, OK? Peringatan untuk semua orang," kata Bolsonaro.
Terdahulu, Bolsonaro pernah mengambil ujian saringan sebanyak tiga kali pada bulan Mei dan disahkan negatif. Ketiga-tiga ujian tersebut dijalankan antara 12 Mac dan 17 Mac setelah Bolsonaro kembali dari pertemuan dua hala dengan Presiden AS, Donald Trump di Florida.
Brazil berada di kedudukan kedua dunia setelah Amerika Syarikat dalam jumlah kes positif dan kematian Covid-19. Lebih daripada 65,000 orang telah maut akibat Covid-19 di Brazil, menurut angka yang dikeluarkan oleh kementerian kesihatan negara itu pada Isnin, dan sebanyak 1,623,284 kes telah dicatatkan.
Sebelum ini, Bolsonaro sering menerima kritikan hebat daripada komuniti perubatan dan pihak pembangkang kerana meremehkan pandemik COVID-19 di negaranya.
