PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan tiada penularan kes baharu Covid-19 dalam negara dilaporkan hari ini, 2 kali berturut-turut sejak semalam.
Sebanyak 13 kes sembuh dari jangkitan Covid-19 dan menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 8,499 atau 97.9 daripada keseluruhan kes.
Menurut kenyataan akhbar Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, memaklumkan sebanyak enam kes baharu telah dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 8,683 keseluruhan kes.
“Keenam-enam kes baharu dilaporkan merupakan kes import dalam kalangan warganegara Malaysia yang mendapat jangkitan dari luar negara.
“Tiada kes penularan dalam negara dilaporkan,” menurut kenyataan tersebut.
Jelas beliau, kesemua kes baharu melibatkan lima warganegara Malaysia dan 1 bukan warganegara, di mana 3 kes baru pulang dari Indonesia, 2 kes dari Singapura dan 1 kes dari Mesir.
Demikian itu katanya, menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 63 kes.
Tambah beliau, terdapat dua kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan satu kes yang memerlukan bantuan pernafasan.
Menurut Noor Hisham, tiada kematian baharu dilaporkan setakat tengah hari tadi, ini bermakna jumlah kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal 121 atau 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes yang direkodkan.
-- SUARA KINI