KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata beliau menyambut baik pengumuman bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam bahawa beliau akan membentuk blok bebas dengan lima ahli parlimen berpihak dengannya.

Setiausaha Agung Barisan Nasional itu berkata bahawa keputusan Mahathir mungkin ingin membuka pintu bagi kerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Yang penting (Mahathir) tidak sokong PH, jadi Bebas lebih baik. Masih ada ruang untuk bekerjasama.

“Seperti yang kita tahu Bebas tidak menggugat (kerajaan) sebaliknya ia boleh main peranan, seperti di PRK Chini ada calon Bebas, tetapi tidak menggugat, begitu juga di Parlimen.

“Saya mengalu-alukannya. Mereka tidak sokong PH. Itu sudah cukup baik, ambil sikap jadi wakil rakyat Bebas. Itu hak mereka yang perlu dihormati oleh semua pihak.

“Saya tidak rasa pendirian Tun berpatah arang berkerat rotan. Saya sangat percaya dalam isu nasional dan kepentingan rakyat, Tun akan bersama dengan kerajaan. Itu sememangnya pendirian Tun.

"Saya sudah lama kenal Tun, dan beliau memegang prinsip yang kuat dalam perkara yang penting bagi rakyat. Saya gembira Tun telah memutuskan untuk menjadi wakil rakyat bebas. Saya amat kecewa ketika beliau menyertai pembangkang,” tambahnya.

Semalam Mahathir bersama 5 bekas ahli Parlimen PPBM mengambil langkah membentuk blok Bebas bersama-sama Warisan.

Dalam kenyataan bersama, mereka memaklumkan tidak akan bergabung dengan mana-mana gabungan parti politik yang lain, sama ada PN atau PH.

Lima pemimpin terbabit adalah Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Abdul Rahman (Muar), Maszlee Malik (Simpang Renggam), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).