📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

Jawatan exco Selangor ditamatkan akibat tekanan PKR, kata Haniza


KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Haniza Talha yang digugurkan jawatan exco Selangor semalam tidak menolak kemungkinan bahawa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bertindak demikian kerana tekanan daripada pihak atasan PKR.

Haniza berkata bahawa beliau sendiri turut menerima tekanan daripada parti itu untuk melepaskan jawatan exco negeri selepas dipecat PKR pada 28 Jun lalu.

“Saya terima dengan tenang. Namun, benar-benar berharap perancangan dan tumpuan kerja saya selama ini dapat diteruskan selepas ini,” katanya.

Meskipun digugurkan jawatan exco, beliau berkata beliau masih wakil rakyat di Lembah Jaya dan ada usaha yang sedang dan akan dilaksanakan di kawasan DUN itu.

Menurutnya, beliau turut akan meneruskan khidmat kepada rakyat melalui NGO diterajui, Nation of Women (NOW) yang ditubuhkan awal bulan lalu.

Semalam, Amirudin mengumumkan perkhidmatan Haniza sebagai exco perumahan dan kehidupan bandar negeri  telah ditamatkan dan turut diperkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Portfolio yang disandang Haniza itu kini diambil alih oleh Amirudin, dan sebarang program berkaitan ditangguhkan buat sementara waktu.

Pada 28 Jun lalu, Majlis Pimpinan Pusat PKR dalam mesyuarat bulanannya bersetuju dengan syor Lembaga Disiplin untuk melucutkan keahlian 5 ahlinya, termasuk Haniza, ADUN Seberang Jaya, Afif Bahardin, Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Nur Zarina Zakaria, Ketua Wanita Sabah, Rahimah Majid dan ADUN Sungai Aceh, Zulkifli Ibrahim,

Sejak 6 April lalu, PKR menggantung keahlian Haniza kerana dikatakan telah berjumpa dengan bekas timbalan presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas naib presiden, Zuraida Kamarudin di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Februari lalu.