KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hari ini sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai individu yang ditemubual oleh Al-Jazeera dalam satu laporan yang mendakwa Malaysia bersikap perkauman ketika menangani pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi membantu siasatan kes.
JIM dalam satu kenyataan berkata lelaki berkenaan dikenali sebagai Md Rayhan Kabir, 25, dan beralamat terakhir di Sirhan Legacy Sdn Bhd B-7-9 Menara Uncang Emas, No 85, Jalan Loke Yew 55200, Kuala Lumpur.
Rayhan juga merupakan seorang warganegara Bangladesh dengan nombor pasport BW0974403.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Rayhan diminta menghubungi terus Penolong Pengarah Imigresen (PPI), Nurulmasha Nazlinan Bin Hussin, Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, di talian 03-8880 1298 / 1294 pada waktu pejabat dan bilik gerakan 03-88801555 selepas waktu pejabat.
Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani COVID-19.