GEORGETOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah menutup atau berhenti melakukan siasatan berhubung projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata pihaknya sebelum ini telah membuka sebanyak lima kertas siasatan berhubung projek berkenaan dan tiada sebarang cadangan untuk menutupnya bahkan siasatan masih berjalan seperti biasa.
"Kita akui siasatan kes ini berjalan agak perlahan ketika PKP tetapi kita tidak pernah ada cadangan pun untuk menutup siasatan projek ini.
"Menurut pembentangan pegawai penyiasat yang terbabit dalam kes ini, siasatan mereka sudah di peringkat akhir.
"Kertas siasatan akan dilengkapkan secepat mungkin kemudian diserahkan kepada timbalan pendakwa raya dalam tempoh dua ke tiga minggu," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang, di sini, hari ini.
Terdahulu, timbul dakwaan bahawa SPRM dikatakan membuka kembali siasatan kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion itu selepas berlaku peralihan kuasa antara kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN).
Tambah Azam, beliau mengikuti rapat kes projek terowong dasar laut itu sejak siasatan bermula pada 2017 dan penyiasatannya akan terus bersambung apabila bukti baharu ditemui.
Ditanya mengenai sama ada akan terdapat lagi tangkapan membabitkan golongan kenamaan dalam kes berkenaan, Azam berkata ianya terserah kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
"Buat masa ini saya tidak menerima laporan lagi dari pegawai penyiasat untuk tangkap mana-mana pihak dan mana yang ditangkap pula kerana ada keperluan penangkapan itu dibuat.
"Tangkapan bergantung kepada pegawai penyiasat," katanya.
Katanya, seramai 32 saksi tambahan sudah diambil keterangan dalam tempoh lima hari ini untuk melengkapkan siasatan kes ini.
"Pada minggu hadapan pula, 10 ke 15 lagi saksi relevan berkenaan projek itu akan diambil keterangan," jelasnya.
Selasa lalu, SPRM telah menahan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Jeffrey Chew Gim Eam selepas mengambil keterangan lelaki itu bagi membantu siasatan berhubung projek terowong dasar laut.
Pada hari ini, SPRM juga mengadakan lawatan ke pejabat kerajaan negeri untuk bertemu dengan beberapa pemimpin termasuk Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) untuk melengkapkan siasatan.