📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

Pawagam di Sarawak beroperasi semula di bawah SOP ketat


KUCHING: Pawagam di Sarawak telah dibenarkan beroperasi semula di mana Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk aktiviti pawagam yang ditetapkan oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak akan berkuat kuasa serta merta, dedah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Katanya, antara SOP aktiviti pawagam adalah mewajibkan syarikat pawagam berkenaan untuk menyediakan protokol operasi dan mengemukakan perancangan tersebut kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang akan meliputi pengawasan penyakit dan pencegahan penyebaran jangkitan, mengikut SOP ditetapkan.

“Syarikat pawagam juga telah ditegah untuk tidak menerima pelanggan berumur 12 tahun dan ke bawah dan melebihi 60 tahun memasuki dewan tayangan.

“Syarikat pawagam wajib menyediakan alat saringan suhu badan atau thermal scanner, pensanitasi tangan dan melaksanakan saringan bagi mengesan gejala berkaitan COVID-19 seperti deman, batuk, selesema, sakit tekak atau sesak nafas dalam kalangan staf serta pelanggan sebelum memasuki premis,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 semalam di sini.