SINGAPURA: Pilihan raya umum (PRU) Singapura yang berlangsung semalam menyaksikan Parti Tindakan Rakyat (PAP) berjaya mengekalkan penguasaannya di republik itu setelah memenangi 83 daripada 93 kerusi yang dipertandingkan.

Memetik laporan BERNAMA, Setiausaha Agung PAP, Lee Hsien Loong yang menyandang jawatan Perdana Menteri, menganggap kemenangan itu sebagai mandat yang jelas hasil kejayaan partinya yang beroleh 61.24 peratus undi popular.

Di sebalik kejayaan PAP itu, peratusan undi popular yang diterima parti tersebut merosot kepada 61.24 peratus berbanding 69.9 peratus pada 2015.

PRU itu merupakan yang kedua PAP meletakkan calon di semua 31 bahagian pilihan raya selepas berbuat demikian pada 2015.

Setelah mengambil kira pertambahan empat kerusi dalam pilihan raya umum kali ini, pembangkang Singapura berjaya menambah empat kerusi baharu.

Parti Pekerja berjaya mempertahankan enam kerusinya di kawasan pilihan raya perwakilan kumpulan (GRC) Aljunied lima anggota dan kawasan pilihan raya perwakilan tunggal (SMC) Hougang serta menang kerusi baharu di GRC Sengkang empat anggota.

PAP pula menang di semua empat kerusi baharu SMC dalam PRU tersebut.

Dalam sidang media maya awal hari ini, Hsien Loong menyatakan beliau berpuas hati dengan keputusan pilihan raya.

“Kami (PAP) memperoleh mandat yang jelas. Undi popular sebanyak 61 peratus. Kami memperoleh 83 kerusi daripada 93 kerusi yang dipertandingkan.

“Keputusan ini mencerminkan sokongan luas bagi PAP. Rakyat Singapura faham apa yang dipertaruhkan dan mengapa kita harus bersatu padu demi kepentingan Singapura,” katanya.

Susulan PRU yang dikatakan ‘kritikal’ dalam usaha Singapura menangani cabaran COVID-19, Hsien Loong menyeru kepada rakyat Singapura agar mengetepikan perbezaan dan berganding bahu untuk membawa republik berkenaan keluar daripada krisis pandemik berkenaan dengan selamat.

Secara keseluruhan, seorang calon Bebas dan 11 parti politik termasuk PAP bertanding untuk 17 GRC dan 14 SMC.

Setelah tempoh mengundi tamat, seramai 2,535,565 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka, termasuk 45,772 undi rosak, menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD).

Undi berkenaan diperoleh daripada 95.63 peratus daripada 2,651,435 pemilih berdaftar dan agak rendah berbanding angka yang dilaporkan pada pukul 8 malam tadi berdasarkan anggaran penjumlahan yang diterima dari 1,100 pusat mengundi, menurut jabatan itu.

Setakat pukul 8 malam tadi, ELD memberitahu, jumlah pengundian lebih tinggi daripada Pilihan Raya Umum 2015 yang menyaksikan 2.3 juta pengundi atau 93.56 peratus daripada pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.

Tempoh pengundian juga dilanjutkan sehingga 10 malam kerana masih ada pengundi beratur dalam barisan panjang di beberapa pusat mengundi, berikutan langkah pencegahan COVID-19 yang dilaksanakan bagi memastikan pilihan raya diadakan dengan selamat.

Populariti Parti Kemajuan Singapura (PSP) yang baru ditubuhkan, gagal membawa mana-mana 24 calonnya ke Parlimen, kumpulan kedua terbesar selepas 21 calon Parti Pekerja.

Parti lain iaitu Parti Demokratik Singapura, Parti Suara Rakyat, Parti Perpaduan Nasional, Parti Reformasi, Parti Rakyat Singapura, Parti Kuasa Rakyat, Parti Red Dot United dan Perikatan Demokratik Singapura turut tidak berjaya menempatkan wakil mereka di Parlimen.