KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sering menolak tender terbuka dan lebih memilih tender terhad semasa masih berkhidmat di kabinet Najib sebagai menteri pembangunan luar bandar.

Najib berkata apabila permintaan Shafie ditolak, beliau akan menulis surat rayuan.

"Jarang ada orang tulis surat rayuan untuk ini. Tidak ada menteri lain seperti dia. Sehingga surat-surat permohonan untuk tender terhad dan surat rayuan bertimbun-timbun di Kementerian Kewangan,” kata Najib dalam siaran Facebook yang turut menyertakan dua gambar surat yang didakwa dihantar oleh Shafie.

Najib berkata Shafie menjadi bengang kerana permintaannya sering ditolak oleh kerajaan pusat, Barisan Nasional. Shafie ialah menteri pembangunan luar bandar dan wilayah pada tahun 2013, sementara Najib sebagai perdana menteri dan menteri kewangan.

Shafie dibuang dari jawatan menteri ketika rombakan kabinet pada tahun 2015, setelah secara terbuka mengkritik skandal 1MDB. Beliau kemudian membentuk kerajaan Warisan dan menjadi ketua menteri Sabah ketika parti dan sekutunya menguasai kerajaan negeri Sabah selepas pilihan raya 2018.

Namanya baru-baru ini dicadangkan oleh bekas pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon PH untuk menjadi perdana menteri sekiranya gabungan itu memenangi pilihan raya umum akan datang.

Najib berkata: "Bila dia jadi PM9 PH Plus, boleh lah dia luluskan permintaan tender-tender terhad dia sendiri pada masa depan seperti apa yang dia sering buat sebagai Ketua Menteri PH Plus Sabah masa kini".