📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

Shahir persoal keputusan UMNO sokong Muhyiddin sebagai PM untuk PRU15


KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Shahrir Samad hari ini mempersoalkan keputusan partinya untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri untuk pilihan raya akan datang sebelum perkara pilihan raya lain diputuskan.

"Kena selesaikan soal siapa jadi Perdana Menteri dulu ke? Kenapa semuanya jadi songsang?

“Bukankah patutnya selesai dulu soal bagaimana Barisan Nasional, Muafakat Nasional dan/atau Perikatan Nasional akan masuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-15?

"Masing-masing ke? Sepakatan ke? Lambang masing-masing ke? Satu lambang ke?," kata bekas ahli Parlimen Johor Bahru itu dalam siaran Facebooknya.

Siarannya itu dibuat setelah seorang lagi ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata bahawa UMNO telah bersetuju untuk menyokong Muhyiddin sebagai PM untuk PRU15 setelah membincangkan perkara itu dengan PAS semasa mesyuarat Muafakat Nasional baru-baru ini.

Annuar, Ahli Parlimen Ketereh, juga mengesahkan kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahawa parti itu akan menyokong Muhyiddin untuk terus menerajui negara ini sekiranya Perikatan Nasional kembali berkuasa.

"Ni pun macam nak jawab tawaran Tun Dr Mahathir supaya Shafie Apdal jadi Perdana Menteri untuk Pakatan Harapan (tolak PKR)."

Shahrir juga mempersoalkan apakah syarat yang akan ditetapkan Muhyiddin setelah beliau dicalonkan sebagai calon PM untuk PRU15.

Semalam, Barisan Nasional, PAS dan parti politik Malaysia Timur menyatakan sokongan semula mereka terhadap gabungan PN.