GEORGE TOWN: Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Prof Dr P Ramasamy dijangka bertemu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabatnya di Komtar pada pukul 9.30 pagi esok.
Beliau, bagaimanapun, tidak mendedahkan perincian pertemuan itu.
Tambahnya lagi, SPRM juga akan bertemu Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Exco kerajaan negeri, Zairil Khir Johari esok.
"Sebelum ini, saya pernah dipanggil oleh SPRM untuk memberikan kenyataan bagi membantu siasatan terhadap projek terowong bawah laut pada tahun 2018, tetapi ia dihentikan.
"Namun, kerajaan baru ingin meneliti semula," katanya pada sidang media pengumuman penganjuran Ekspo Pendidikan dan TVET Pulau Pinang 2020 hari ini.
Ramasamy berkata jika pertemuan itu ada kaitan dengan tuduhan rasuah dalam projek terowong bawah laut mega, beliau akan memberikan kerjasama sepenuhnya.
Chow sebelum ini mengakui bahawa kerajaan negeri telah menerima surat dari SPRM untuk menemu ramah beberapa anggota exco dan pemimpin negeri berkenaan dengan projek terowong bawah laut.
Bekas ketua Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Jeffrey Chew telah direman selama empat hari dari semalam bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah dalam projek terowong bawah laut mega di negeri itu yang menelan belanja RM6.3 bilion.