KUALA
LUMPUR: Bekas Ketua Angkatan
Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan anggota
kepemimpinan sayap itu telah dipelawa oleh Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH)
untuk menyertai parti berkenaan.
Menurut ketua Pemuda AMANAH, Shazni Munir Mohd
Ithnin, pelawaan itu berikutan pemecatan Syed Saddiq daripada BERSATU pada 28
Mei lalu, selain sebahagian pemimpin ARMADA mungkin akan diketepikan.
Shazni menjelaskan bahawa AMANAH bukan parti yang
asing bagi Ahli Parlimen Muar itu dan anggota ARMADA kerana kedua-dua pihak
telah menjalinkan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)
yang lalu.
"Sejak menghadapi PRU-14 sehingga hari ini,
AMANAH terus bekerjasama dengan kumpulan BERSATU pro Tun Dr Mahathir Mohamad
(bekas Perdana Menteri), termasuk Syed Saddiq.
"Pastinya AMANAH sangat terbuka menerima
penyertaan tokoh dan aktivis anak muda ini ke dalam parti untuk bersama-sama
memperjuangkan Malaysia yang lebih baik.
"Pemuda AMANAH optimis penyertaan ini bakal
merancakkan lagi gerakan anak muda dalam arena politik tanah air," katanya
dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Syed Saddiq memaklumkan akan menarik
semula saman sivil berhubung kes pemecatan keahliannya daripada BERSATU.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun
Facebooknya, beliau yang juga antara pengasas BERSATU reda dengan nasib yang
menimpanya dalam parti itu.
Syed Saddiq antara lima bekas pimpinan BERSATU yang
memfailkan tuntutan membatalkan pemecatannya dari parti itu.
-- SUARA KINI