KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Langkah Sementara COVID-19, yang akan segera diperkenalkan kerajaan, hampir sama dengan apa yang telah dilaksanakan dan diumumkan di luar negara seperti New Zealand dan Singapura, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
"Undang-undang baru ini akan dibahas di Kabinet dan akan segera dibawa ke Parlimen.
"Ini adalah tindakan sementara yang bertujuan untuk membantu rakyat Malaysia," katanya dalam program TV3, "Money Matters" hari ini, sambil enggan menjelaskan ia lebih lanjut.
Mengulas kemungkinan moratorium pinjaman dipanjangkan, yang berakhir pada 30 September, beliau menasihati bank dan pelanggan untuk saling berhubungan.
Sebagai bekas pengurus bank, beliau mengakui cabaran yang dihadapi oleh bank, tetapi menyatakan bahawa masyarakat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga menghadapi cabaran mereka sendiri, seperti aliran tunai terganggu dan pengangguran.
"Saya rasa penting bagi bank untuk melihat masyarakt dan PKS yang masih memerlukan sokongan dan bantuan dalam menyusun semula pinjaman mereka. Mereka harus memberi sebanyak mungkin bantuan kepada mereka,” katanya.
Tengku Zafrul menekankan bahawa Malaysia tidak berada dalam krisis kewangan sekarang, kerana bank lebih kukuh jika dibandingkan dengan keadaan semasa krisis kewangan 2008-2009, terutamanya dengan penambahan modal yang tinggi sebanyak RM121 bilion.
Sementara itu, beliau berkata salah satu sektor yang terjejas teruk akibat pandemik ini adalah industri pelancongan, yang merupakan industri pertama terjejas dan kemungkinan akan menjadi yang terakhir untuk pulih.
Beliau berkata pelancongan domestik adalah kunci untuk pemulihan jangka pendek industri, memandangkan Malaysia masih belum membuka lagi sempadan.
Beliau mendesak pengusaha pelancongan untuk mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sehingga keyakinan pelancong dapat kembali semula dan sektor pelancongan domestik dapat dihidupkan kembali.
Mengenai industri penerbangan, dan apakah kerajaan akan menyelamatkan syarikat penerbangan dalam masa-masa sukar ini, beliau menjelaskan ianya penting bagi syarikat penerbangan untuk mencari penyelesaian komersial.
"Saya tidak yakin (dengan cara) menyelamatkan pemegang saham, dan tiada satu pihak pun dalam kalangan mereka yang minta untuk diselamatkan. Kita mungkin mencari jalan untuk membantu syarikat supaya mereka boleh kekal bertahan dan pekerjaan dapat diteruskan.
"Setakat ini, tiada permintaan daripada mana-mana syarikat penerbangan untuk kerajaan memberikan suntikan pembiayaan langsung," tambahnya.