📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

600 ahli WARISAN Sepanggar keluar parti

Raisa (tengah) bersama ahli WARISAN Sepanggar yang hadir pada sidang media petang tadi.

KOTA KINABALU: Kali ini, Parti Warisan Sabah menerima tamparan lagi apabila 600 ahli Parti Warisan Sabah (WARISAN) Bahagian Sepanggar bertindak keluar parti selepas hilang kepercayaan terhadap kepimpinan WARISAN Sepanggar yang dipimpin Datuk Mohd Azis Jamman.

Mereka berbuat demikian kerana kecewa dengan pengabaian kepimpinan Azis yang juga Ketua Wira WARISAN dan ahli Parlimen Sepanggar.

Ketua Wirawati WARISAN Bahagian Sepanggar, Raisa Abd Ghaffur berkata, sebagai pejuang asal WARISAN Sepanggar ialah memastikan kebajikan pihaknya tidak pernah dipedulikan dalam gerakan memperjuangkan parti.

"Janji-janji pihak kepimpinan untuk menjaga kebajikan ahli selaku pejuang parti dari mula penubuhan hanyalah cakap kosong sebagaimana rakyat kawasan Sepanggar yang dikecewakan WARISAN.

"Mereka harus ingat pemimpin itu dipilih oleh rakyat dan kedudukan mereka sekarang ini juga ditentukan oleh rakyat.

"Justeru, saya yang dilantik secara sah sebagai Ketua Wirawati WARISAN Sepanggar bersama ahli yang lain tidak lagi bersama WARISAN bermula Ahad (21 Jun)," katanya pada sidang media di sini.

Sebagai aktivis di kawasan Sepanggar, Raisa berkata pihaknya akan meneruskan usaha menyantuni rakyat dan menjadi suara rakyat melalui medium pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO).

Mungkin dengan cara sedemikian, suara mereka akan lebih didengari serta dapat berkhidmat dengan penuh berintegriti, katanya.

"Tindakan kami ini tidak dipaksa dan dipengaruhi oleh mana-mana pihak," jelasnya.