📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

Cabang PKR Saratok keluar parti

Cikgu Barang mengetuai keputusan keluar parti PKR pada sidang media hari ini.

SARATOK: Seramai 25 dari 29 ahli jawatankuasa (AJK) PKR Cabang Saratok, Sarawak hari ini keluar parti dan meletakkan jawatan. Pemangku Ketua Cabang, Cikgu Barang mengetuai  keputusan itu setelah mereka hilang kepercayaan kepada presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kami melihat bahawa parti seolah-olah tiada hala tuju dan sekadar memenuhi impian peribadi presiden parti untuk menjadi Perdana Menteri sahaja.

"Kami berasa kecewa kerana parti tidak memperjuangkan agenda reformasi seperti yang sentiasa dilaung-laungkan selama ini.

"Jauh di sudut hati, kami bertanya, adakah agenda reformasi ini hanya sekadar membawa erti menobatkan presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri," ujarnya.

Sementara itu, mereka turut menyatakan sokongan kepada Ahli Parlimen Saratok yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Ali Biju dan akan mempertahankan DUN Krian dan P. 205 Saratok sekiranya pilihan raya diadakan bila-bila masa.

Ali, yang juga merupakan ADUN Krian, sebelum ini telah dipecat dari PKR kerana memberikan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Sokongan kami selama ini terhadap YB Ali Biju adalah diatas kapasiti peribadi beliau dan bukannya parti.

"Tiada siapa dapat menafikan bahawa kuatnya parti PKR di Saratok bergantung kepada kekuatan dan kepimpinan YB Ali Biju sendiri dan bukannya parti semata-mata," menurut Cikgu Barang.