KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mahu menjadi Perdana Menteri semula untuk memperbetulkan kerosakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut Mahathir, beliau akan berundur setelah Sidang Kemuncak Asia Pasifik (APEC), yang dijadualkan pada bulan November dalam jangka waktu enam bulan.
“Walaupun APEC mungkin tidak diadakan, tapi lepas APEC, iaitu akhir tahun ini, saya akan letak jawatan.
“Tetapi saya yakin bahawa perkara-perkara yang perlu dilakukan, saya boleh tunjuk cara-cara untuk melakukannya,” katanya.
Mahathir berkata bahawa ianya penting untuk memastikan PH Plus mengalahkan PN terlebih dahulu, dengan mengatakan bahawa mereka mempunyai “banyak kerja” yang harus dilakukan.
Tambahnya, ini kerana PH Plus mempunyai tugas tambahan, iaitu membetulkan kesalahan yang dilakukan pemerintahan Muhyiddin.
Mahathir berkata bahawa ketika PH membentuk kerajaan setelah memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-14, mereka telah mengubah amalan meletakkan ahli politik mengetuai entiti yang berkaitan dengan kerajaan, dan menggantinya dengan golongan profesional yang sesuai dengan peranan tersebut.
“Bukan saja kesalahan Najib dulu perlu diperbetulkan, tapi kesalahan Muhyiddin ini lebih besar.
"Kita telah tukar dari orang politik kepada profesional, orang yang cekap dalam bidang perniagaan dan sebagainya.
‘Sekarang ini dia (Muhyiddin) tukar kepada orang politik balik. Sekali lagi akan berlakulah penyelewengan, curi duit dan sebagainya,” katanya.