📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

Lazio terus beri tekanan kepada Juve


MILAN: Ciro Immobile dan Luis Alberto mengangkat semula Lazio yang memburu kejuaraan apabila mereka menang 2-1 ke atas Fiorentina kelmarin untuk mengurangkan jurang dengan pendahulu Serie A Juventus kepada empat mata.

Siri tanpa kalah Lazio bagi 21 perlawanan berakhir dengan kekalahan 3-2 di Atalanta pada Rabu lepas, setelah mensia-siakan kelebihan dua gol.

Tetapi pasukan Simone Inzaghi mengukuhkan tempat kedua, di belakang juara bertahan sebanyak empat kali berkenaan, yang mendominasi Lecce 4-0 di Turin pada Jumaat lepas.

“Para pemain tahu taruhan adalah tinggi,” kata Inzaghi ketika Lazio menyasari kejuaraan Serie A pertama dalam tempoh dua dekad.

Fiorentina kekal di tempat ke-13, sama mata dengan kelab di tempat ke-14 Torino, dan kedua-dua pasukan berada enam mata di atas zon relegasi.

Terdahulu Cagliari mencerahkan harapan mereka untuk bermain dalam Liga Europa dengan kemenangan 4-2 ke atas Torino.

Pasukan Sardinia itu kini menduduki tempat ke-10 – empat mata dari tempat kelayakan ke Liga Europa – dan sama mata dengan pasukan di tempat kesembilan Hellas Verona.

Kelab tercorot Brescia nampak bakal kembali ke Serie B selepas mensia-siakan kelebihan dua gol dalam keputusan seri 2-2 dengan Genoa.

Alfredo Donnarumma menjaringkan gol untuk pasukan tuan rumah selepas 10 minit, dan Alessandro Semprini menjaringkan gol pertamanya dalam Serie A tiga minit kemudian.

Namun Genoa membalas dengan dua tendangan penalti, yang pertama diperolehi selepas Cristian Romero dikasari pemain remaja Brescia, Andrea Papetti.

Iago Falque tampil untuk menyempurnakan tendangan pada minit ke-38 manakala Andrea Pinamonti menjaringkan tendangan kedua pada minit ke-69. — AFP