📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

"Lepas ini, tiada lagi baju batik saya yang jadi asas kuih-muih" - Ismail Sabri

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

PUTRAJAYA: Tiada lagi sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Sebaliknya ia akan dilaksanakan tiga kali seminggu bermula minggu hadapan.

Ismail Sabri berkata, sidang media tersebut hanya akan diadakan pada setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat.

“Ingin saya maklumkan bahawa hari ini adalah hari terakhir saya bersiaran langsung setiap hari dan hari ini adalah hari terakhir bersiaran pada hujung minggu.

“Mulai minggu depan, sidang akhbar akan dibuat tiga kali seminggu iaitu pada Isnin, Rabu dan Jumaat sahaja,” katanya.

Beliau yang juga hampir sebak sempat bergurau senda kepada wartawan dan para penonton berkenaan baju batik yang sering dipakainya setiap hujung minggu.

“Mungkin selepas ini, tidak ada lagi baju batik berwarna-warna yang menjadi asas kepada kuih muih dan minuman tuan puan sekalian,” ujarnya.

Sidang media harian beliau sering menjadi tumpuan, terutamanya pelbagai corak kemeja batik kreatif yang dipakai beliau, sehingga netizen menyamakannya dengan pelbagai juadah tempatan.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak dalam memerangi COVID-19 terutama petugas barisan hadapan yang bertugas tanpa mengira rasa penat dan lelah.

Tidak ketinggalan, pengamal media yang komited tanpa jemu dan berdedikasi menyampaikan laporan yang tepat kepada rakyat setiap hari sejak tiga bulan lalu.

“Kepada semua rakyat Malaysia yang mematuhi perturan dan SOP yang ditetapkan setiap masa, terima kasih saya ucapkan atas kerjasama dan sokongan,” katanya.