📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

'Nak sambung legasi arwah'

"Saya akan cuba menunaikan tanggungjawab ini dengan amanah," katanya dalam sidang media selepas majlis pengumuman itu.

PEKAN: "Tekad saya sebagai orang muda untuk teruskan legasi arwah ayahanda dan guru saya di Felda Chini, Datuk (Seri) Abu Bakar (Harun)," kata Mohd Sharim Md Zain yang diumumkan calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Pengumuman calon BN itu dibuat Pengerusi BN Pahang yang juga Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Pejabat Umno Bahagian Pekan, petang semalam.

Majlis itu turut dihadiri oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga merupakan Ahli Parlimen Pekan.

Mohd Sharim, 41 berkata bahawa beliau sangat menghargai kepercayaan diberikan parti untuknya mewakili BN dalam PRK berkenaan.

"Saya akan cuba menunaikan tanggungjawab ini dengan amanah," katanya dalam sidang media selepas majlis pengumuman itu.

Mohd Sharim juga merupakan usahawan yang juga anak peneroka Felda Chini.

Beliau ialah Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan yang aktif dalam aktiviti kemasyarakatan termasuk menjadi Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan dan Naib Presiden Majlis Belia Pahang.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, Mohd Sharim dipilih daripada 12 calon bagi mewakili belia di kawasan berkenaan yang merekod 56.9 peratus daripada jumlah pengundi.

"Kriteria utama calon dipilih adalah yang boleh diterima masyarakat dan Sharim memenuhinya," katanya yang memberitahu turut mengambil kira pandangan penduduk kawasan dan rakan parti Perikatan Nasional (PN).

Najib yang diberi mandat memilih calon bagi PRK itu berkata, Mohd Sharim anak tempatan yang pernah bekerjasama rapat dengan penyandang terdahulu iaitu Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun.

"Kita cuba mencari calon yang disenangi semua pihak dan tidak banyak masalah. Dia (Mohd Sharim) faham dan masak dengan selok-belok (DUN), masyarakat Chini dan sebagainya.

"Ini bukanlah keputusan bersendirian, sebaliknya saya sentiasa berunding dengan Datuk Seri Wan Rosdy dan Parlimen (Pekan) supaya kita capai kata sepakat (dalam pemilihan calon)," katanya.

Katanya, keputusan juga mengambil kira 82 peratus pengundi DUN itu yang terdiri daripada rakyat Felda termasuk 8,500 pengundi luar.

PRK DUN Chini diadakan susulan kematian Datuk Seri Abu Bakar Harun akibat serangan jantung pada 6 Mei lalu.

Hari pengundian telah ditetapkan pada 4 Julai dengan 20 Jun ini sebagai hari penamaan calon dan hari pengundian awal pada 30 Jun.