KUCHING: Rakyat Sabah dan Sarawak tidak akan diperbodohkan dengan cadangan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjadi calon perdana menteri PH, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing.
Terdahulu, cadangan melantik Shafie, yang juga presiden Warisan, diumumkan oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam usahanya menggulingkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang hanya mempunyai majoriti tiga kerusi di Parlimen.
"Saya tahu Shafie adalah pemimpin yang baik dan berkemampuan, tetapi jangan anggap orang Sabah dan Sarawak bodoh dengan mencadangkannya sebagai calon perdana menteri selepas PRU15 demi mendapatkan sokongan dua negeri Malaysia Timur terhadapnya dengan cadangan itu.
James yang juga presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) berkata pengundi Malaysia pasti tidak akan menerima Shafie sebagai PM. Beliau turut meminta Mahathir supaya berhenti bermain politik.
Cadangan itu dibuat sebagai alternatif di tengah-tengah kebuntuan antara Mahathir dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai siapa yang patut menjadi calon perdana menteri PH Plus.
Sekiranya berjaya, cadangan itu akan menjadikan Shafie sebagai perdana menteri pertama dari Malaysia Timur. Ia juga dilihat sebagai usaha meraih perhatian dua negeri itu.
Kerajaan negeri Sarawak yang dipimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mempunyai 18 kerusi Parlimen dan gabungan itu dilihat sebagai faktor penentu susulan majoriti tipis Muhyiddin di Dewan Rakyat.
BACA DALAM ENGLISH