📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

PKR Sarawak tegas pendirian sokong Anwar sebagai calon PM, kata Abun

Ketua Penerangan dan Komunikasi PKR Negeri, Abun Sui Anyit berkata ini sejajar dengan keputusan majlis presiden PH untuk mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya mereka mengambil alih Putrajaya.

KUCHING: PKR Sarawak hari ini menegaskan mereka mahu presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi calon perdana menteri sekiranya Patakan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan pusat dari Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan dan Komunikasi PKR Negeri, Abun Sui Anyit berkata ini sejajar dengan keputusan majlis presiden PH untuk mencalonkan Anwar, dan bukannya Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Oleh itu, PKR negeri yakin bahawa kepimpinan pusat parti akan membuat keputusan terbaik untuk parti, dan apa sahaja keputusan yang dibuat, ia berdasarkan semangat persahabatan dan keputusan asal PH," katanya.

Katanya, adalah kepentingan terbaik rakyat bahawa Anwar menjadi perdana menteri sekiranya pakatan baru yang digelar Pakatan Plus, yang terdiri daripada PH, Parti Warisan Sabah dan blok Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diketuai oleh Mahathir, kembali ke Putrajaya.

Abun mengulas perdebatan yang sedang berlangsung mengenai siapa yang harus menjadi perdana menteri sekiranya PH merebut kembali kerajaan persekutuan setelah Mahathir mengundurkan diri sebagai perdana menteri dan Bersatu menarik diri dari gabungan itu pada bulan Februari.

Katanya, kepimpinan PKR negeri mengikuti perkembangan terkini dalam kepimpinan PH.

"Wakil PKR negeri pasti akan menyuarakan apa yang dikehendaki oleh Sarawak di dewan kepimpinan pusat parti itu," katanya.

Abun berkata, PKR negeri yakin bahawa PKR, sebagai parti kebangsaan dengan anggota semua kaum, akan mempertimbangkan kepentingan dan pandangan Sarawak sebelum membuat keputusan.

Katanya, sebarang keputusan besar oleh kepimpinan pusat tidak hanya akan mempengaruhi Sarawak, tetapi juga negeri-negeri lain di Malaysia.