Beliau juga mengulangi harapannya agar gabungan itu memenangi pilihan raya kecil DUN Chini tanpa bertanding agar tidak membebankan orang ramai yang masih berhadapan wabak Covid-19.
Bercakap semasa sidang media hari ini, Annuar menekankan bahawa memandangkan kemerosotan ekonomi semasa dan pandemik ini, kempen pilihan raya akan merugikan kepentingan umum.
"Saya harap tidak akan ada pertandingan agar tidak membebankan orang ramai.
"Sekiranya ada pertandingan, pasti ada kempen. Tetapi sekarang, kita masih dalam perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).
"Dan penyandang jawatan terakhir untuk pilihan raya kecil adalah dari UMNO dan BN. Lebih baik jika tidak ada pertandingan di sana,” kata Annuar.
Semalam, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata parti itu akan berusaha untuk menyokong calon Barisan Nasional (BN), sambil menambah akan menggerakan jentera Bersatu bagi membantu.
Pada 6 Jun lepas, gabungan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan bahawa mereka tidak akan bertanding dalam pilihan raya kecil, dengan alasan pandemik COVID-19 yang sedang terjadi.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan bahawa antara sebab yang mendorong mereka tidak meletakkan calon di pilihan raya kecil adalah kebimbangan mereka terhadap keselamatan dan kesejahteraan pengundi walaupun terdapat SOP baru yang akan diperkenalkan.
Pilihan raya kecil negeri itu diadakan selepas kematian penyandang, Datuk Seri Abu Bakar Harun pada 7 Mei.
Hari penamaan calon akan berlangsung pada Sabtu ini, 20 Jun manakala hari pengundian akan diadakan pada 4 Julai.
Setakat ini, tidak ada calon bebas yang menamakan diri mereka untuk bertanding.