JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar telah berkenan untuk membiayai kos membaikpulih wad perempuan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini yang terbakar petang semalam.
Sultan Ibrahim akan melantik kontraktor untuk membolehkan kerja-kerja pembaikan dimulakan dengan segera, dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).
"Saya mahukan Pengarah Jabatan Kerja Raya, Pengarah Kesihatan Johor dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor bersama membincangkan segera pelan pembaikan yang akan dilakukan oleh kontraktor.
"Selalunya kos pembaikan jika dilakukan kerajaan akan mengambil sedikit masa kerana terdapat sistem yang perlu dilalui, dan saya tidak salahkan kerajaan, oleh demikian saya mahukan kerja-kerja pembaikan dilakukan segera," titahnya dalam satu kenyataan yang disiarkan di akaun Facebook rasmi baginda hari ini.
Semalam, rakyat Johor dikejutkan dengan berita kebakaran yang berlaku di HSA yang melibatkan Wad Perubatan Perempuan yang terletak tidak jauh dari Klinik Kesihatan Mahmoodiah.
Namun, tidak ada kematian kerana semua 24 pesakit di wad diselamatkan dengan segera.
Pada Oktober 2016, kebakaran juga telah berlaku di tingkat dua unit rawatan rapi (ICU) hospital yang menyebabkan enam orang maut.