KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah memberi amaran kepada kerajaan agar tidak menakut-nakutkan pengkritik, setelah polis melancarkan siasatan jenayah terhadap komen seorang ahli Parlimen DAP mengenai isu kahwin bawah umur.
Dalam satu kenyataan yang mengkritik pengendalian Putrajaya mengenai perkara itu, mantan timbalan perdana menteri itu berkata bahawa anggota Parlimen Segambut, Hannah Yeoh hanya menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat ketika beliau mempersoalkan kedudukan pentadbiran baru mengenai isu kahwin bawah umur.
"Oleh itu, saya menggesa pihak berkuasa untuk berlaku adil," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya.
"Dan mengingatkan Putrajaya agar tidak melakukan intimidasi politik terhadap ahli-ahli parlimen yang menjalankan tugas mereka menyuarakan isu rakyat."
Dr Wan Azizah juga bekas menteri pembangunan wanita dan masyarakat, dengan Yeoh sebagai timbalannya.
Dalam tweet Yeoh, beliau telah menyatakan kebimbangannya terhadap peta jalan nasional untuk memerangi perkahwinan bawah umur berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (Siasatan/Undang-Undang) DCP Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi berkata, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.