PUTRAJAYA: 10 kes baru Covid-19 dicatatkan dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 8,658.
Manakala, 15 kes disahkan pulih dan dibenarkan discaj hari ini.
Jumlah kematian kekal 121 orang susulan tiada kematian dilaporkan.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, 2 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dan kedua-dua kes tersebut memerlukan bantuan pernafasan.
"Ingin dimaklumkan daripada 10 kes baharu yang dilaporkan, tujuh kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan semua warganegara Malaysia.
"Daripada tiga kes penularan di dalam negara, satu kes adalah bukan warganegara iaitu kes saringan Orang Kena Tahan (OKT) di Seremban, Negeri Sembilan sebelum dipindahkan ke penjara. Dua kes adalah di kalangan warganegara Malaysia," menurut kenyataan rasmi beliau.
Setakat ini, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah sebanyak 76 kes dan mereka telah diasingkan serta diberi rawatan.
Dalam pada itu, KKM juga memaklumkan bahawa kluster Pudu telah tamat.
Kluster tersebut adalah kluster kediaman di Kuala Lumpur yang mula dikesan daripada saringan pekerja di sebuah tapak pembinaan. Kes positif Covid-19 pertama kluster ini dikesan pada 10 Mei susulan saringan Covid-19 yang telah dijalankan bagi pekerja (inisiatif majikan syarikat tersebut).
KLIK SINI UNTUK SITUASI TERKINI COVID-19 DI MALAYSIA