PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan memaklumkan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 di negara ini buat pertama kalinya kurang daripada 100 kes sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 18 Mac lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam satu kenyataan, berkata jumlah kes aktif di negara ini hanya 85 kes dan ia dapat dicapai selepas 62 kes sembuh dicatatkan hari ini.
Katanya, dengan pertambahan jumlah kes pulih itu, ia menjadikan jumlah kumulatif kes pulih di negara ini sebanyak 8,437 kes atau 97.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
"Sehingga jam 12 tengah hari ini, hanya tiga kes baharu COVID-19 dicatatkan iaitu satu kes daripada kes import iaitu mendapat jangkitan dari luar negara membabitkan warganegara Malaysia.
"Kedua-dua kes penularan di dalam negara pula adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia dan tiada kes di kalangan warganegara Malaysia dilaporkan pada hari ini," menurut kenyataan akhbar beliau hari ini.
Perincian kes jangkitan dalam negara (2 kes) di kalangan bukan warganegara adalah seperti berikut:
- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: satu (1) kes daripada Kluster Bukit Bintang. Status terkini kluster ini akan diperincikan di bawah;
- Sabah: satu (1) kes saringan kes baharu masuk ke lokap di Kota Kinabalu.
Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini sebanyak dua kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kedua-dua kes memerlukan bantuan pernafasan.
KLIK SINI UNTUK SITUASI TERKINI COVID-19 DI MALAYSIA