📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

COVID-19: Kes baru kembali catat dua angka hari ini


PUTRAJAYA: Malaysia kembali mencatat jumlah kes baru positif COVID-19 dua angka hari ini dengan 13 kes baharu direkodkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 13 kes baharu itu, lapan kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan enam warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara.

“Daripada lima kes penularan di dalam negara, tiga kes adalah di kalangan warganegara dan dua kes adalah di kalangan bukan warganegara.

“Di Sarawak, ada dua kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) yang telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak dan di Kuala Lumpur, satu kes saringan sebelum masuk kerja,” katanya dalam sidang media harian perkembangan Covid-19 hari ini.

Selain itu, dua kes positif penularan tempatan di kalangan bukan warganegara turut dikesan di Kuala Lumpur dalam saringan semula di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil sebelum proses penghantaran pulang mereka ke negara asal.

Dr Noor Hisham berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,696 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan virus berkenaan sebanyak 64 kes.

Jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan telah didiscaj daripada wad turut menghampiri 100 peratus, iaitu sebanyak 97.9 peratus atau bersamaan 8,511 kes termasuk 12 kes pulih hari ini, katanya.

Beliau berkata tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat wabak itu kekal 121 kes atau 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat dua kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), kedua-dua kes itu memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.