📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

COVID-19: Orang ramai diingatkan waspada, walaupun jangkitan tempatan terkawal


KUALA LUMPUR: Orang ramai telah diingatkan tentang kepentingan mencegah penyebaran COVID-19 di kalangan masyarakat dengan jumlah kes positif harian kembali kepada angka dua digit semalam.

Walaupun hanya tiga kes jangkitan tempatan dilaporkan semalam, kawalan diri memainkan peranan penting untuk memutuskan rantaian jangkitan virus di kalangan masyarakat.

Sehingga vaksin dijumpai untuk virus tersebut, orang ramai harus membiasakan diri dengan kebiasaan baharu dalam kehidupan seharian mereka.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 10 kes positif yang dilaporkan, tujuh daripadanya adalah kes import yang melibatkan warganegara Malaysia.

Oleh itu, rakyat Malaysia yang diwajibkan menjalani kuarantin diri di rumah harus memandang serius arahan kerajaan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, terutama untuk mengambil ujian saringan COVID-19 kali kedua pada hari ke-13 tempoh kuarantin.

Sementara itu, latihan sepenuh masa untuk atlet yang terlibat dengan program ‘Road To Tokyo (RTT)’, Podium dan pembangunan junior akan bermula hari ini.

Sebanyak 539 atlet dan 142 jurulatih terlibat dengan program RTT, podium dan pembangunan junior akan kembali ke pusat latihan yang ditetapkan, iaitu Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil; Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara; Kompleks Sukan MSN Keramat; dan Pusat Pelayaran Nasional, Langkawi.

Bagi sukan para, 135 atlet dan 31 jurulatih dari program RTT dan Podium diminta melapor diri ke Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Malaysia (MPSEC) di Kampung Pandan.

Sukan Olimpik Tokyo, yang dijadualkan berlangsung tahun ini, ditunda ke 23 Julai hingga 8 Ogos 2021 berikutan wabak COVID-19.