📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

Covid-19: PM ucap tahniah kepada 'frontliners' dan rakyat Malaysia


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang sehingga kini masih bertungkus-lumus mengawal penularan pandemik Covid-19 di dalam negara.

Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan rasa bangga kepada seluruh rakyat Malaysia atas kerjasama yang sangat baik dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Perkara itu dinyatakan beliau menerusi muat naik terbaharu di Twitter sebagai penghargaan atas kejayaan negara yang mencatatkan kes harian COVID-19 terendah dengan satu kes import dan kes jangkitan sifar tempatan semalam.

Jelas Muhyiddin, jumlah kes harian tempatan menurun sehingga merekodkan angka satu digit sejak akhir-akhir ini.

Beliau percaya trend penurunan ini menunjukkan tahap kesedaran dan pengetahuan masyarakat tentang wabak COVID-19 serta pematuhan kepada SOP semakin tinggi.

Pada masa sama, beliau mengingatkan agar rakyat tidak merasa terlalu selesa sehingga alpa dan lalai dalam usaha mengawal jangkitan wabak tersebut.