JAKARTA: Kes COVID-19 di Indonesia semakin mengganas setelah negara itu hari ini mencatatkan 2,657 kes baru, jumlah paling tinggi sejak kes pertama virus itu dikesan di negara itu pada 2 Mac lalu.
Jumlah keseluruhan kes positif di Indonesia kini sebanyak 70,736 manakala jumlah kematian meningkat kepada 3,417 orang dengan 58 lagi kematian dalam tempoh 24 jam.
Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto, berkata bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, seramai 38,498 pesakit COVID-19 masih dalam pemantauan.
Beliau berkata demikian pada sidang media harian mengenai pandemik itu yang disiarkan menerusi YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia.
Peningkatan kes positif menimbulkan kebimbangan banyak pihak berikutan beberapa provinsi, antaranya Jawa Tengah, Jawa Barat dan Jakarta mula melaksanakan proses transisi atau pemulihan Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) yang membenarkan beberapa aktiviti sosioekonomi sejak awal dan pertengahan Jun lalu.