CHRISTCHURCH: Mahkamah Australia telah menetapkan 24 Ogos depan sebagai tarikh keputusan penghakiman ke atas tertuduh, Brenton Tarrant selepas lelaki itu mengaku bersalah dalam kejadian tembakan rambang di dua masjid di Christchurch, New Zealand tahun lalu.
Warga Australia itu membuat pengakuan bersalah di Mahkamah Tinggi Christchurch awal tahun ini atas pertuduhan menyebabkan kematian sebanyak 51 jemaah Islam sewaktu solat Jumaat.
Hakim Cameron Mander berkata, keputusan penghakiman dijangka berlangsung selama tiga hari.
Bagaimanapun, ia boleh dilanjutkan selagi terdapat keperluan untuk berbuat demikian.
Untuk rekod, tragedi berdarah yang berlaku pada 15 Mac tahun lalu menggemparkan seluruh dunia apabila puluhan umat Islam maut akibat tindakan tidak berperikemanusiaan Tarrant.
Mengejutkan lagi apabila lelaki berkenaan turut bertindak memuat naik videonya menembak umat Islam secara langsung di laman sosial Facebook.