SHAH ALAM: Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad, berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak perlu bergembira terlalu awal dengan pengumuman Tun Dr. Mahathir Mohamad dan parti Warisan keluar dari gabungan Pakatan Harapan (PH) sebagai blok bebas.

Jelas Khalid, Mahathir bersama lima yang lain dan Warisan masih kekal bersama pembangkang dan mempunyai agenda sama iaitu menjatuhkan kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“PN tak boleh bergembira dan berhari raya atas pengumuman Tun Dr. Mahathir kerana kenyataan Tun itu masih dikaitkan dengan usaha menjatuhkan PN,” katanya ketika ditemui portal berita MalaysiaGazette pada program Retreat Amanah hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan parti Bersatu pimpinan Mahathir membuat keputusan untuk kekal bersama Warisan sebagai blok bebas di dalam dan di luar Parlimen.

Kedua-dua parti itu juga menegaskan mereka tidak akan bergabung dengan mana-mana gabungan sama ada PH ataupun PN. Mereka juga menentang sebarang usaha untuk menggantikan Speaker Dewan Rakyat dan akan meneruskan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Ketika ditanya sama ada Mahathir masih terlibat dengan Mesyuarat Presiden PH, Khalid menjelaskan bahawa mereka yang berada dalam blok bebas itu tidak akan lagi terlibat.

“Sebelum ini, dia secara jelas bersama PH dan menganggap dirinya bersama PH Plus. Sekarang, apabila sudah berada dalam blok bebas, maka dia tidak terikat dengan keputusan PH atau PH Plus.

“Sama ada dia nak ikut atau tak nak ikut, atau dia nak buat langkah sendiri atau sebaliknya, itu terpulang pada dia tapi kita akan tetap bekerjasama antara PH dengan blok bebas Tun Dr. Mahathir demi untuk kesepaduan dan kesatuan di kalangan pembangkang dalam Dewan Rakyat.

“Sekarang, kita kena bincang dan layan mereka sebagai entiti berasingan, bukan semestinya bersama kita. Kalau dia masih dalam PH Plus, itu dianggap bersama kita, sekarang tidak lagi,” katanya.

Beliau juga tidak tahu sebab Mahathir keluar PH untuk berada dalam blok bebas tetapi dilihatnya sebagai usaha itu dilihat hendak mengambil balik kerajaan PN dengan langkahnya sendiri.

Mengenai calon Perdana Menteri di kalangan blok PH, beliau menegaskan, pendirian parti itu tetap mencalonkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

“Dalam soal pencalonan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula, kita telah serah kepada Anwar untuk mengadakan rundingan dan perbincangan,” katanya.