📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

Polis telah mula siasatan berhubung laporan Al-Jazeera


KUALA LUMPUR: Polis telah memulakan siasatan berhubung laporan agensi berita antarabangsa Al-Jazeera yang didakwa berniat jahat memburukkan imej Malaysia menerusi dokumentari mengenai cara negara ini mengendalikan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

Menurut Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid, pihaknya telah menjalankan siasatan selepas Jabatan Imigresen membuat laporan di Balai Polis Presint 7 Putrajaya.

“Kita telah buka kertas siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Siasatan akan dijalankan polis kontinjen Kuala Lumpur.

Beliau juga menjelaskan bahawa terdapat juga laporan lain yang dibuat oleh seorang wanita berhubung isu sama di Putrajaya pada kira-kira 9 pagi tadi.

Mior berkata pengadu membuat laporan selepas menonton video dokumentari itu di laman YouTube dan keterangannya telah diambil.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat yang mendakwa negara bersikap perkauman terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam melaksanakan langkah menangani COVID-19.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador turut memberi respon dan berkata laporan yang dikeluarkan agensiberita adalah tidak tepat dan siasatan lanjut sedang dijalankan PDRM.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu agensi berita antarabangsa itu memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana menyiarkan fakta yang tidak benar dan mengelirukan.