KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dibenarkan untuk memeriksa barangan yang dirampas oleh polis dari sebuah premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd, yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bermula 21 Julai ini.
Tanpa menetapkan tarikh yang pasti, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melihat barangan tersebut selepas 21 Julai, dua hari sebelum ulang tahun kelahiran Najib.
Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin yang mengesahkan perkara itu berkata bahawa ianya terserah kepada penasihat bagi kedua-dua pihak, polis dan Bank Negara Malaysia untuk menetapkan tarikh bagi Najib dan Rosmah untuk memeriksa barang berharga tersebut kecuali barang kemas.
"Pemeriksaan ke atas barang kemas tersebut akan dilakukan setelah penjaja dari Lubnan, Global Royalty Trading SA tiba. Tetapi, kami tidak dapat pastikan bila barang kemas itu akan tiba kerana sempadan kita sekarang ditutup,” katanya kepada wartawan setelah prosiding.
Pada 11 Mac, Rosmah mendapat izin untuk melakukan pemeriksaan fizikal ke atas aset yang didakwa ada kaitan dengan skandal dana 1MDB yang disita oleh polis, tetapi beliau masih belum melakukannya kerana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pada 10 Jun, mahkamah juga membenarkan permohonan Najib untuk memeriksa barangan yang dirampas oleh polis termasuk jam tangan, beg dan cermin mata hitam setelah mendengar hujah peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Faten Hadni.
Pihak pendakwaan memfailkan permohonan untuk melucut hak aset yang disita di premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd.
Najib dan Rosmah merupakan pihak ketiga dalam permohonan lucut hak itu.
Sitaan itu dibuat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
