SHAH ALAM: Pejabat bekas exco Selangor, Haniza Talha di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam dirantai selepas perkhidmatannya ditamatkan semalam.
Kejadian itu disedari seorang pegawainya yang mewakili Haniza untuk mengambil barang peribadinya pagi tadi.
Difahamkan, tindakan itu dibuat atas arahan pihak atasan.
“Pejabat exco Haniza di bangunan setiausaha kerajaan negeri (SUK) dirantai.
“Mereka tidak bagi masa dan peluang untuk Haniza ambil barang-barang beliau,” kata pegawai itu.
Haniza turut berkata bahawa beliau tidak pasti siapakah yang mengarahkan tindakan sedemikian.
Semalam, Amirudin mengumumkan perkhidmatan Haniza sebagai exco negeri ditamatkan bersesuaian keputusan PKR melucutkan keahliannya akhir bulan lalu.
Katanya, keputusan itu turut diperkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Portfolio yang disandang Haniza itu kini diambil alih oleh Amirudin, dan sebarang program berkaitan ditangguhkan buat sementara waktu.
Pada 28 Jun lalu, Majlis Pimpinan Pusat PKR dalam mesyuarat bulanannya bersetuju dengan syor Lembaga Disiplin untuk melucutkan keahlian 5 ahlinya, termasuk Haniza, ADUN Seberang Jaya, Afif Bahardin, Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Nur Zarina Zakaria, Ketua Wanita Sabah, Rahimah Majid dan ADUN Sungai Aceh, Zulkifli Ibrahim,
Sejak 6 April lalu, PKR menggantung keahlian Haniza kerana dikatakan telah berjumpa dengan bekas timbalan presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas naib presiden, Zuraida Kamarudin di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Februari lalu.